ARTIKEL
CERPEN
|
| |
KISAH LIMA PERKARA AJAIB
Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang
ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan
bahwa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi
dan ada yang hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam
bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah
pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang
negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau
terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau
daripadanya."
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan
kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi
itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi,
tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya.
Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi
sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya.
Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur
'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah
mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas
Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian
ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun
menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun
meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu
terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang
mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata,
"Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil
burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas
burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi
Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu
janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak
boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu.
Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit
daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu,
helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia
bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari
dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah
menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam
itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun
melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka
jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahwa, "Yang pertama
engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada
akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun
akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan
nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu
khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah
untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang
busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari
orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri
kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita
sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal
orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah
kita ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita,
sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan
terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya,
"Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku
kerjakan di dunia dulu."
Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang
dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahwa walaupun apa yang kita kata itu
memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh
kerana itu, hendaklah kita jangan mengatakan hal orang walaupun ia benar.[]
| |
KISAH TELADAN
Sepenggal kalimat tentang MALNU,
klik di sini
|